Penganjuran SUKMA XXI Sarawak bersih, bebas doping-Abdul Karim
KUCHING-- Bukan sahaja menjadi juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA XXI) 2024, Sarawak juga berjaya merekodkan sifar kes doping sepanjang penganjuran kejohanan tersebut.
Kejayaan ini dikongsikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
"SUKMA XXI Sarawak 2024 merupakan kejayaan yang amat bermakna dan bersejarah dengan Sarawak muncul juara keseluruhan buat kali keempat sejak 1994, memperoleh 201 pingat.
"Acara yang diadakan dari 17 hingga 24 Ogos 2024 itu telah dihadiri oleh atlet, pegawai dan pelawat dari Malaysia dan Brunei Darussalam, yang mempamerkan kecemerlangan dan perpaduan olahraga.
"Lebih bermakna, temasya kali menyaksikan tiada kes pelanggaran doping dikesan dan ini disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS)," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kejayaan penganjuran SUKMA XXI juga boleh dikaitkan dengan usaha tanpa mengenal lelah daripada jawatankuasa penganjur, media dan penaja yang kesemuanya bekerja keras untuk mempromosikan sukan tersebut serta mendapat pujian pada majlis perasmian dan majlis penutupan SUKMA Sarawak 2024.
“Bukan itu sahaja, kejayaan Sarawak meraih kejuaraan selepas 30 tahun datang hasil daripada kemajuaan dan pembangunan sukan serta pengiktirafan daripada serantau,” tambahnya.
Kata beliau lagi, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM240.2 juta untuk temasya itu, dibantu oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM50 juta.
“Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sukan di negara ini dan impak positif sukan tersebut kepada masyarakat setempat, atlet dan negara.
“Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk kedua-dua acara SUKMA Sarawa 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024, sokongan kerajaan pusat dengan ketara menyumbang kepada bajet keseluruhan di mana pembiayaan ini bukan sahaja membantu perbelanjaan operasi am tetapi juga memastikan keperluan atlet kurang upaya dipenuhi, menggalakkan keterangkuman serta peluang sama rata dalam sukan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Sarawak berjaya mengutip 76 pingat emas, diikuti rapat oleh Kontinjen Wilayah Persekutuan dengan 75 pingat emas pada SUKMA XXI.
Selain SUKMA XXI, Sarawak juga bergelar juara keseluruhan bagi Para SUKMA XXI 2024 dengan mengutip 209 pingat termasuk 82 pingat emas.