Penempatan guru di bawah Pengambilan Guru Khas Sarawak diharap dimuktamadkan sebelum tahun baharu-Sagah

KUCHING-- Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) berharap penempatan guru di bawah Pengambilan Guru Khas Sarawak dapat dimuktamadkan sebelum penghujung 2024.

Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini untuk mengatasi isu kekurangan guru di Sarawak dalam memastikan setiap kanak-kanak, khususnya murid di kawasan luar bandar, mempunyai akses yang konsisten kepada pendidikan berkualiti.

Jelasnya sejak 2017, Sarawak telah menghadapi kekurangan seramai 2,000 hingga 3,000 guru setiap tahun.

"Justeru, MEITD amat komited untuk melaksanakan pengambilan khas guru melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Kementerian Pendidikan (KPM), dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

"Usaha ini bertujuan mengisi 1,733 kekosongan jawatan guru di seluruh Sarawak.

“Latihan pengambilan (guru) di seluruh negeri telah menarik minat yang kuat dengan lebih 15,000 orang pemohon.

“Seramai 2,010 calon berpotensi telah disenarai pendek untuk temu duga akhir, yang diadakan di Kuching, Sibu, dan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah menyampaikan kepada SPP komitmen mereka untuk mengutamakan calon Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan calon bagi pengambilan Khas Guru Sarawak di bawah kontrak perkhidmatan (COS) dijangka menerima surat tawaran lantikan akhir tahun ini.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab saya berharap agar SPP dapat menunaikan permintaan negeri ini untuk melantik guru COS yang baharu sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan,” tegasnya.
Next Post Previous Post