Penawaran surat calon guru pengambilan khas Sarawak dijangka selesai sebelum hujung tahun ini-Sagah

Gambar Kredit TVS

SERIAN-- Penawaran surat kepada calon guru pengambilan khas di Sarawak dijangka diselesaikan sebelum penghujung tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Berikutan itu, jelasnya, jumlah kekosongan bagi jawatan guru sekolah di Sarawak untuk tahun hadapan menerusi pengambilan khas belum dapat ditentukan kerana surat tawaran masih belum dikeluarkan.

"Pada masa sama kementerian saya juga bersedia untuk melakukan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jika ramai calon terpilih menolak penjawatan tersebut selepas tawaran diberikan," katanya dipetik menerusi laporan TVS.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada akhir program Pesta Danu Serian 2024 di Tasik Danu di sini, pada Jumaat.

Tambah Sagah, pihaknya juga akan berunding bersama SPP dan KPM untuk mengadakan semula pengambil khas guru Sarawak jika ada kekosongan jawatan berkenaan di negeri ini.

Namun, jelasnya pengambilan khas itu nanti mungkin tidak akan sama seperti pengambilan khas seperti tahun ini menerusi jumlah bilangan penawaran.

Sagah pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri lepas dipetik berkata, pengambilan khas guru untuk Sarawak melalui SPP berjaya menarik minat lebih 15,000 pemohon seluruh Malaysia dengan 2,010 telah disenarai pendek untuk temu duga akhir.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak memberi peluang kepada calon dari negeri ini diberikan keutamaan memohon jawatan tersebut bertujuan bagi memastikan kesinambungan guru sedia ada di seluruh Sarawak.

Jelasnya sejak 2017, Sarawak telah menghadapi kekurangan seramai 2,000 hingga 3,000 guru setiap tahun.

Selain itu, beliau menjelaskan calon bagi pengambilan Khas Guru Sarawak di bawah kontrak perkhidmatan (COS) dijangka menerima surat tawaran lantikan akhir tahun ini.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab saya berharap agar SPP dapat menunaikan permintaan negeri ini untuk melantik guru COS yang baharu sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan,” tegasnya.
Next Post Previous Post