Pemandu van sekolah maut kemalangan

BINTULU -- Seorang lelaki warga emas maut selepas van sekolah yang dipandunya bertembung dengan sebuah van pekerja dalam kemalangan yang berlaku di kawasan Batu 15 di Lebuhraya Pan Borneo Bintulu-Miri petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Langie berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang turut berada di lokasi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 7.06 petang bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah kenderaan. 

"Sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa di bahagian kerusi duduk pemandu dengan menggunakan peralatan pemotong khas bagi mengeluarkan mangsa," ujarnya. 

Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada KKM sebelum disahkan meninggal dunia.

Tiga orang mangsa yang turut berada di lokasi dan mengalami kecederaan kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Adalah difahamkan bahawa 21 lagi mangsa yang terlibat dalam insiden iaitu pekerja dan kanak-kanak sekolah telah berjaya dikeluarkan dari kedua-dua van dengan bantuan orang awam dan sudah dihantar ke hospital bagi diberikan rawatan.
Next Post Previous Post