Musim tengkujuh: Sarawak dijangka alami hujan lebat Dis 2024-Feb2025
KUCHING-- Sarawak dijangka dilanda hujan lebat antara Disember 2024 hingga Februari 2025 berikutan Monsun Timur Laut, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, untuk itu agensi-agensi yang berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, telah bersedia sepenuhnya untuk menangani musim tengkujuh yang akan datang.
"Jabatan Meteorologi Malaysia telah meramalkan bahawa Malaysia akan mengalami hujan lebat mulai November, dengan Sarawak menjangkakan hujan paling lebat antara Disember 2024 dan Februari 2025, khususnya pada Januari 2025," katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, seramai 5,727 kakitangan, 564 aset darat, 1,269 aset marin dan sungai, 25 aset udara, dan 154 aset sokongan dalam keadaan siap sedia.
Tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah serta agensi pemantau juga akan sentiasa berwaspada sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang kecemasan yang mungkin timbul.
Selain itu, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menyediakan bekalan bantuan bencana di semua depoh simpanan, gudang pejabat, dan pangkalan barisan hadapan.
"Sebanyak 31 pangkalan hadapan telah diwujudkan di seluruh Sarawak bagi memudahkan pengagihan bantuan makanan tepat pada masanya semasa bencana terutama sebagai persiapan menghadapi musim Monsun.
"Pada masa ini, terdapat 661 pusat pemindahan sementara yang terletak di seluruh Sarawak, dengan keupayaan menampung sehingga 160,819 mangsa bencana.
"Sejumlah RM2.97 juta telah disediakan kepada kesemua dua belas bahagian untuk menambah baik dan menaik taraf pusat pemindahan sementara yang aktif," ujarnya.
Menurut beliau lagi, dengan sokongan daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak dan agensi teknikal lain, kerja-kerja menaik taraf ditetapkan untuk dilaksanakan dan disiapkan pada awal tahun 2025.
"Inisiatif ini akan meningkatkan kesediaan dan kefungsian pusat untuk situasi kecemasan pada masa hadapan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan sentiasa dimaklumkan mengenai amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia khususnya yang berada di kawasan rendah.
"Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan agensi berkaitan semasa bencana bagi memastikan keselamatan mereka dan memudahkan usaha menyelamat yang cekap," katanya.