Mangsa banjir seorang wanita sarat mengandung, melahirkan anak di Hospital Kapit selepas lebih 2 jam dipindahkan
KAPIT -- Salah seorang mangsa banjir dari Rumah Engking Sungai Amang, salah seorang wanita yang sedang sarat mengandung berusia 26 tahun bersalin di Hospital Kapit sejurus selepas dua jam dipindahkan ke lokasi selamat bersama dua lagi mangsa.
Borneo Network difahamkan bahawa wanita berkenaan melahirkan seorang bayi perempuan di hospital pada jam 7.30 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sejurus menerima panggilan berhubung banjir kilat yang melanda rumah panjang terbabit pada jam 5 pagi, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan serta pemindahan mangsa.
Sampai di lokasi katanya, pasukan bomba mendapati berlakunya banjir di kawasan rumah panjang dengan paras air mencecah sehingga 3 meter dan hampir mencecah paras lantai rumah panjang.
"Pasukan penyelamat kemudiannya menggunakan dua set tali untuk ke seberang dari jambatan besi berhampiran untuk ke rumah panjang tersebut," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memindahkan seorang lelaki dewasa dan dua wanita dewasa yang mana salah seorang wanita sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk bersalin dengan menggunakan perahu penduduk kampung.
Pasukan Bomba kemudiannya menghubungi Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk mengambil wanita mengandung tersebut, namun beliau tidak dapat menahan untuk melahirkan dan telah dihantar oleh orang awam menggunakan van ke unit kecemasan.
Turut difahamkan bahawa bayi yang dilahirkan itu merupakan anak ke-6 wanita tersebut.