Lelaki maut motosikal ditunggang hilang kawalan langgar pokok

KUCHING-- Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Datuk Bandar Mustapha di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kemalangan yang dipercayai berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 30-an menunggang motosikal jenis Spyder F3-S-RDD.

"Mangsa datang dari arah Jalan Pending menuju ke Jalan Datuk Bandar Mustapha dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tepi sebelah kanan jalan.  

"Mangsa telah dihantar oleh pihak ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 1.35 tengah malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Shazwina Alfera Ah Yit @ Suaip di talian 016-7433078 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.  

"Pengguna jalan raya adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain agar selamat sampai ke destinasi," ujarnya.
Next Post Previous Post