Lelaki dicekup bersama dadah di BDC
KUCHING-- Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas bersama dadah bernilai RM11,255 di BDC malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditangkap pada jam 9.45 malam dalam serbuan yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuching.
"Selain tangkapan, sebanyak 50.80 gram dadah disyaki ketamin dan 36.50 gram dadah disyaki ganja yang dianggarkan keseluruhan bernilai rm RM11,255 dirampas.
"Suspek yang ditangkap juga didapati positif dadah jenis ketamin dan THC serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dengan kes dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, tegas Merbin suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati,
dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada dua belas sebatan.
"Suspek direman selama empat hari mulai 24 November 2024 sehingga 27 November 2024 bagi membantu siasatan serta mengenal pasti
punca bekalan dadah.
Justeru, beliau mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.