Lapan lelaki dijumpai selamat, bot alami masalah enjin ketika memancing

KUCHING-- Lapan lelaki bersama bot yang dilaporkan hilang ketika memancing di perairan laut Paloh dijumpai selamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bot bersama kelapan mangsa dijumpai sekitar jam 1.45 petang setelah rakan mangsa berjaya berhubung dengan bot pancing terbabit.

"Rakan bot yang mencari mangsa telah berjaya berhubung dengan bot pancing, dan kesemua lapan individu bersama bot pancing telah ditemui dalam keadaan baik dan selamat. 

"Punca kejadian adalah disebabkan oleh masalah enjin bot yang dialami semasa dalam perjalanan pulang ke jeti pada 31 Oktober 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Farhan, bot pancing terbabit ditunda balik ke jeti Semariang Batu.

"Kesemua mangsa bersama bot pancing telah selamat tiba di jeti pada jam 5.25 petang tadi," jelasnya.

Terdahulu, katanya, bot terbabit bersama lapan mangsa dilaporkan hilang selepas keluar memancing pada 29 Oktober lalu dan sepatutnya pulang pada 31 Oktober 2024.

Namun, sehingga semalam, beliau memberitahu bot terbabit tidak pulang seperti dijadualkan dan susulan itu anak mangsa tampil membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat, satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR), telah diaktifkan pada 1 November 2024 jam 5.45 petang yang dianggotai oleh pasukan PDRM, APMM, TUDM melibatkan kawasan pencarian di sekitar perairan laut Paloh, Belawai," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk keluar memancing agar sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga serta memastikan keselamatan diri, dan bot, berada pada keadaan yang baik, bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.  
Next Post Previous Post