Kuching rekod 362 kes penipuan libatkan kerugian lebih RM27.4 juta-Fadillah
KUCHING-- Sebanyak 362 kes penipuan melibatkan kerugian sebanyak RM27,435,525.91 dilaporkan di Daerah Kuching setakat Januari hingga Oktober 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Jelasnya, meskipun jumlah kes menunjukkan penurunan jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu, namun nilai kerugian merekodkan peningkatan.
"Di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sahaja, antara Januari hingga Oktober 2023 sebanyak 509 kes penipuan (scammer) dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM27,083,758.38 (RM27.08 juta).
"Manakala antara Januari hingga Oktober 2024 pula, sebanyak 362 kes penipuan dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM27,435,525.91 (RM27.4 juta)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Townhall 2024 anjuran Ibu pejabat Polis Daerah Kuching dengan kerjasama Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya di Dewan Malaysia Jaya hari ini.
Sesi Townhall itu bertajuk “Hentikan Ancaman Scammer, Dadah Dan Judi Online” ini adalah antara program untuk pihak polis berinteraksi secara terus dengan masyarakat, memberi penerangan dan berkongsi maklumat pencegahan kes-kes jenayah yang boleh mengancam kehidupan masyarakat serta manjawab isu-isu yang dikemukakan.
Mengulas lanjut kes scammer yang dilaporkan, Fadillah berkata, antaranya, Macau Scam, penipuan pembelian dalam talian, penipuan pelaburan atau skim cepat kaya, Love scam, penipuan pekerjaan iaitu iklan pekerjaan palsu dan penipuan bantuan kerajaan.
Bagi kes penyalahgunaan dadah pula jelasnya, antara jenis dadah yang banyak di kesan di Sarawak ialah methamphetamine (syabu) dan pil ekstasi, selain ganja dan heroin.
"Di Daerah Kuching sahaja, sebanyak 11 kes dengan 16 tangkapan dilaporkan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 antara Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 21 kes dengan 44 tangkapan dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu (2023).
"Di bawah Seksyen 39A akta sama pula, 3 kes dengan 3 tangkapan dilaporkan dalam tempoh 10 bulan tahun ini, berbanding 6 kes dengan 7 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
"Manakala bagi Seksyen 39A (1) akta sama pula 45 kes dengan 72 tangkapan dilaporkan dalam tempoh 10 bulan tahun ini,berbanding 37 kes dengan 58 tangkapan tahun lalu," dedahnya.
Dari segi nilai rampasan dadah di Daerah Kuching pula, Fadillah berkata, nilai rampasan antara Januari hingga Oktober tahun ini adalah RM996,292.30 berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM9,906,189.10 (RM9.9 juta).
Bagi judi online, tegasnya, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan berapa langkah untuk membanteras judi online.
"Ini termasuklah operasi penguatkuasaan dengan membuat serbuan ke atas premis perjudian haram dan penangkapan operator dan kempen kesedaran iaitu dengan memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya judi online.
"Selain itu, kerjasama antarabangsa iaitu berurusan dengan pihak berkuasa luar negara untuk menghapuskan server yang digunakan untuk judi dan pengawalan teknologi dengan menyekat laman web judi online melalui agensi berkaitan," tambahnya.
Menurutnya, bagi Daerah Kuching, antara Januari hingga Oktober 2024 sebanyak 94 kes judi online dilaporkan dan disiasat di bawah Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, berbanding 308 kes disiasat mengikut seksyen dan akta sama dalam tempoh 10 bulan tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau memberitahu dalam memerangi dan membanteras kes scammer, dadah dan judi online, rakyat tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa terutama polis semata-mata.
Katanya, kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan.
Tegasnya, pendidikan dan program kesedaran adalah pendekatan paling berkesan dalam mencegah kes seperti jenayah scammer, dadah dan perjudian online.
"Kesedaran di kalangan masyarakat penting selain tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa demi membanteras jenayah ke akar umbi.
"Semoga dengan kerjasama dan komitmen semua, kes-kes berkenaan akan dapat kita perangi dan banteras sehingga ke akar umbi, demi kesejahteraan dan keharmonian semua, Insya-Allah," ujarnya.