Konsert Mycasa Borneo 2024 di Kampung Budaya Sarawak esok, Jalan Sultan Tengah ke Santubong dijangka sesak
KUCHING-- Jalan Sultan Tengah menuju ke Kampung Budaya Sarawak, Santubong dijangka sesak pada esok susulan Konsert Mycasa Borneo 2024.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, untuk itu pengunjung dan pengguna jalan raya dinasihati untuk mematuhi isyarat yang diberikan oleh pihak polis bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
"Konsert Mycasa Borneo 2024 akan berlangsung pada 16 November 2024 di Kampung Budaya Sarawak bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam.
"Dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Sultan Tengah menghala ke Kampung Budaya Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Merbin, keperluan penutupan jalan dan lencongan lalu lintas bergantung kepada keadaan semasa berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pihak polis.
Oleh itu, tegasnya, pengunjung dan pengguna jalan raya dinasihati untuk mematuhi isyarat yang diberikan oleh pihak polis bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
"Pada masa sama pengunjung dinasihati untuk meletakkan kenderaan di sepanjang laluan masuk ke Damai Golf & Country Club.
"Kerjasama orang ramai amat diharapkan agar tidak mengganggu aktiviti harian pengguna jalan raya yang lain.
"Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching ditalian 082- 259900," ujarnya.