Kilang papan di kawasan perindustrian Kemena musnah terbakar
BINTULU -- Sebuah kilang papan yang menghasilkan 'chipboard' di kawasan perindustrian Kemena musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dengan bantuan BBP Kidurong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 2.24 pagi.
"Sejurus sampai, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan struktur bangunan kilang papan jenis struktur tidak kekal itu," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan 2 aliran 300 kaki yang mana sumber air diperoleh dari pili bomba dan pam jentera.
Setakat ini katanya, kerja-kerja memadam kebakaran sedang giat dijalankan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran yang berlaku ini.