Kerajaan Sarawak janji selesaikan isu tanah libatkan penduduk Kampung Tambirat Nanas-Abdul Karim

KUCHING-- Isu tanah yang melibatkan penduduk di Kampung Tambirat Nanas, Asajaya akan diselesaikan segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Saya pun terkejut mendengar isu ini kerana sebelum ini tiada siapa yang bawa kepada saya.

"Selain surau, ada rumah-rumah kediaman termasuk rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dibina di tanah berkenaan sejak 50 tahun lalu.

"Tetapi kita akan menyelesaikannya. Saya telah memaklumkan kepada Premier insya-Allah kita akan menyelesaikannya," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tuntutan seorang warga emas, Tan Khi Mong, 67, yang merupakan pemilik berdaftar ke atas tanah seluas 1.901 hektar di Asajaya itu.

Difahamkan beliau telah membeli tanah yang diklasifikasikan "mixed-zone land" tersebut pada 2014 lalu dan menyedari tanahnya telah diceroboh sekitar 12 Mac 2023.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu beliau juga telah bertemu peguam yang mewakili pihak terlibat kes berkenaan.

"Saya sudah bercakap dengan peguam yang mewakili pihak terlibat jadi saya berharap jangan jadikannya ia isu yang besar.

"Saya berharap mahkamah juga memberi kerjasama dalam menyelesaikan isu ini," katanya sambil menambah beliau enggan mengulas lebih mendalam isu berkenaan kerana sudah dibawa ke mahkamah.

Pada masa sama Abdul Karim mempersoalkan tindakan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) yang mengeluarkan surat hak milik tanah yang berstatus "mixed-zone" tanpa melakukan pemeriksaan di lapangan.

"Bagaimana surat hak milik tanah itu dikeluarkan pada 2014 sedangkan tanah berkenaan sudah diduduki penduduk kampung lebih 50 tahun.

"Apa JTS lakukan? Mengapa anda keluarkan surat hak milik tanah berkenaan sedangkan tahu terdapat rumah-rumah dan surau di sana.

"Sepatutnya JTS memeriksa tanah berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang surat hak milik tanah yang baharu," tegasnya.

Semalam, Tan menerusi Chong Brothers memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pemilikan kosong tanah tersebut setelah mendapat cadangan daripada JTS.

Dikatakan, JTS telah menjalankan siasatan di tanah berkenaan dan mengesahkan bahawa lebih kurang 10 rumah dan sebuah surau telah dibina di atas tanah tersebut. 

JTS juga didakwa mengesahkan bahawa penduduk telah melakukan pencerobohan dan menduduki tanah berkenaan secara haram. 

Pada masa yang sama, JTS dikatakan telah mengesyorkan agar Tan "mengambil tindakan undang-undang terhadap penceroboh tanah tersebut". 
Next Post Previous Post