Kedudukan istimewa Sarawak dalam autonomi Imigresen tidak boleh dirunding-Abdul Karim
KUCHING-- Kedudukan istimewa Sarawak khasnya berkaitan autonomi Imigresen adalah hak yang tidak boleh dirunding, tegas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menegaskan ia kerana mencerminkan kedudukan unik Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Autonomi ini bukan sahaja berkaitan urusan imigresen tetapi juga pengiktirafan terhadap kedudukan khas Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“MA63 memperkukuh lagi autonomi ini dan ia bukan hanya dokumen sejarah malah ia adalah komitmen murni untuk menegakkan hak-hak khas dan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Autonomi Imigresen ini jelas Abdul Karim, bertujuan untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat.
Katanya, perkara berkaitan autonomi Imigresen Sarawak secara kukuhnya adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 161E(4) dan Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menjelaskan autonomi itu merangkumi hak eksklusif Kerajaan Sarawak untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak, demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Sarawak.
"Hak ini juga adalah untuk memastikan kawalan imigresen kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak,” tambahnya.
Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) katanya, menjadi panduan kepada penggubalan MA63 yang menekankan kepentingan Sarawak untuk mengekalkan kawalan terhadap imigresen sebagai langkah melindungi budaya, sosial, dan ekonomi.
"Oleh itu, kerajaan Sarawak akan terus komited untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri dipelihara dalam usaha mencapai matlamat menjadi wilayah maju dan makmur," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, kerajaan Sarawak komited untuk memperkukuhkan autonomi dalam hal ehwal buruh, bagi melindungi kebajikan pekerja.
Menurutnya, ia mewajibkan semua majikan mendapatkan kelulusan mengikut Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), yang menggariskan peraturan untuk pengurusan hal buruh.
“Peruntukan ini memastikan amalan penggajian adalah sejajar dengan undang-undang serta keutamaan pembangunan atau sektor ekonomi di Sarawak.
“Autonomi ini adalah asas penting kepada tadbir urus dan identiti Sarawak.
Hak-hak ini dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan IGC yang merupakan kunci kepada keupayaan Sarawak untuk melindungi kepentingannya serta mengekalkan autonomi dalam Malaysia,” katanya.
Malah, tegas beliau Sarawak mempunyai kuasa penuh untuk melarang mana-mana individu atau entiti daripada beroperasi di negeri ini sekiranya gagal mematuhi undang-undang yang telah diluluskan.