Kajian terperinci penyelarasan gaji dan elaun KMKK sudah di peringkat akhir-Sikie

KUCHING-- Kerajaan Sarawak dalam peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kali terakhir Kerajaan Sarawak membuat penyelarasan gaji bagi KMKK adalah pada 2018. 

"Pelarasan ini melibatkan kenaikan gaji serta elaun bulanan sebanyak RM100. 

"Oleh itu, Kerajaan Sarawak dalam peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu KMKK selaras dengan peranan, tanggungjawab serta bebanan tugas yang semakin mencabar di samping keadaan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Jelasnya, KMKK terdiri dari pelbagai kaum di seluruh pelusuk Sarawak yang berperanan penting bukan sahaja sebagai agen penyampai maklumat kerajaan di peringkat akar umbi, tetapi juga untuk memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di kawasan masing-masing. 

"Ini terbukti dengan peningkatan serta pertambahan jumlah jawatan KMKK sebanyak 1,532 dari tahun 2015 sehingga 2024.

"Setakat ini, terdapat sejumlah 671 orang Ketua Masyarakat dan 6,921 orang Ketua Kaum di seluruh Sarawak," tambahnya. 

Mengulas mengenai jumlah gaji dan elaun yang diterima pada ketika ini Sikie berkata 41 orang Temenggong dengan gaji permulaan sebanyak RM1,600 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM40 setahun.

"88 orang Pemanca dengan gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM30 setahun; 542 orang Penghulu dengan gaji permulaan sebanyak RM1,100 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM20 setahun; dan 6,921 orang Ketua Kaum dengan elaun sebanyak RM900 sebulan.

"Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM86.6 juta setahun untuk tujuan pembayaran gaji Ketua Masyarakat serta elaun Ketua Kaum. 

"Jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak RM12.5 juta iaitu 15 peratus berbanding tahun 2020," ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu Ketua Masyarakat yang sedang berkhidmat juga menikmati kemudahan seperti Cuti Tahunan 15 hari setahun, Cuti Haji, Kemudahan Perubatan termasuk isteri dan anak, Mencarum KWSP dan PERKESO, Kenaikan gaji tahunan,
Pingat Perkhidmatan Setia dan Pelepasan bayaran lesen senapang milik peribadi.

Mengenai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pula, beliau menjelaskan setakat ini, terdapat sejumlah 6,921 institusi JKKK di seluruh Sarawak, dan seramai 6,921 orang Setiausaha JKKK dengan jumlah ahli keseluruhan seramai 72,000 orang.

Menurutnya kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM51.3 juta setahun untuk tujuan pengurusan JKKK yang merangkumi pembayaran elaun Setiausaha, elaun kehadiran mesyuarat dan elaun pengendalian mesyuarat.

"Ini adalah merupakan komitmen Kerajaan bagi memastikan JKKK dapat memainkan peranan yang lebih berkesan di dalam pembangunan komuniti di kawasan masing-masing," katanya lagi.
Next Post Previous Post