Gara-gara lari dari diperiksa polis, lapan maut kemalangan di Jalan Sarikei-Sibu

SARIKEI-- Lapan maut termasuk tujuh warga Indonesia dalam kemalangan tragis antara sebuah kereta Perodua Alza dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Sarikei-Sibu petang tadi, dipercayai gara-gara lari daripada pemeriksaan polis.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 3.58 petang dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke lokasi.

"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dengan sebuah 4WD yang mana dua mangsa menaiki 4WD telah dikeluarkan oleh orang awam dan diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah berada di lokasi kejadian.

"Terdapat lapan mangsa yang menaiki Perodua Alza yang mana dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi kejadian.

"Manakala enam mangsa masih tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan yang juga disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, tujuh mangsa yang meninggal adalah warga Indonesia manakala seorang lagi warga tempatan. 

Jelasnya, kesemua mangsa yang meninggal adalah lelaki dewasa. 

"Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Next Post Previous Post