Empat lelaki diburu disyaki terlibat kes samun berkumpulan bersenjata parang di Serian
SERIAN-- Polis kini giat memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah rumah di Kampung Panchor Dayak, Jalan Batu 29, di sini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Neil Beginda berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.48 pagi tadi.
"Hasil siasatan mendapati empat lelaki telah pecah masuk ke dalam rumah dengan memotong pagar hadapan rumah dan masuk melalui tingkap.
"Antara barang yang dilaporkan hilang berupa wang tunai, barangan kemas, kunci rumah, laptop, kad ATM, kad pengenalan lesen memandu, kunci kereta Toyota Avanza dan makanan kering dengan jumlah kerugian dianggarkan RM40,700," katanya dalam kenyataan malam ini.
Tegas Neil, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
"Pihak polis sedang mengesan empat lelaki yang merupakan suspek yang terlibat dalam kejadian ini.
"Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh tampil ke mana mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Rizal Nante di talian 082-874201," ujarnya.