Dua suspek kes tembak di Bintulu diberkas, disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh
BINTULU-- Dua lelaki ditangkap disyaki terlibat kes tembak dan tetak seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di tingkat empat kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di sini.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali yang mengesahkan kes itu berkata, suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditangkap di kawasan Miri.
"Polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nixon berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tembak yang berlaku di kawasan tempat letak kereta tingkat 4 di sebuah hotel di bintulu pada pagi ini.
"Mangsa seorang lelaki tempatan dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dan setibanya pihak ambulans di tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia.
"Ekoran kejadian pihak Polis telah menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua suspek akan direman dan permohonan reman akan dimohon di Mahkamah Majistret Bintulu.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihak polis tidak berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah.
Tambahnya, pihak polis komited dalam mengesan suspek yang terlibat di dalam kes ini dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang masih dalam siasatan.
"Justeru, kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah tampil dan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304," ujarnya.