Dua rumah di Kampung Semerah Padi terbakar, 15 penghuni hilang tempat tinggal
KUCHING-- Lima belas penghuni hilang tempat tinggal selepas rumah didiami mereka terbakar dalam insiden melibatkan dua buah rumah di Kampung Semerah Padi tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 12.12 tengah malam dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi dan dibantu BBP Padungan.
"Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis struktur separuh kekal dan kekal terbakar 100 peratus dalam 1 lot yang sama dengan keluasan 30x60 kaki persegi.
"Kesemua mangsa berjaya keluar dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, pasukan bertindak memadam kebakaran sehingga api padam sepenuhnya.
Tambahnya, setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bertolak balik ke balai.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.