Dua lelaki, seorang wanita miliki rekod jenayah ditangkap ceroboh pencawang komunikasi SACOFA

BAU-- Tiga individu termasuk seorang wanita ditangkap disyaki terlibat kes menceroboh pencawang komunikasi SACOFA di Jalan Sungai Pinang Siniawan, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 28 hingga 30 tahun ditangkap sekitar jam 2.30 petang pada 31 Oktober lalu di sebuah rumah di Kampung Buso, Bau.

"Tangkapan dibuat terhadap suspek hasil intipan pihak polis yang ternampak suspek menceroboh masuk ke dalam kawasan pencawang komunikasi SACOFA di Jalan Sungai Pinang, Siniawan.

"Selain tangkapan, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, empat gulung tembaga dan pelbagai peralatan pemotong kabel dan pecah rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Daram berkata, semakan rekod jenayah lampau ke atas semua suspek mendapati suspek pernah terlibat kesalahan kes penyalahgunaan dadah dan curi.

Susulan itu, tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Next Post Previous Post