Dua guru nyaris rentung dalam kebakaran kuarters guru di SK Batu Danau Limbang
LIMBANG -- Dua guru nyaris maut selepas kuarters guru yang didiami mereka di SK Batu Danau musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 7.27 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan sebuah kediaman guru jenis tidak kekal," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran yang mana operasi memadam masih dijalankan pada masa sekarang.
Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kedua-dua mangsa sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri.
Borneo Network turut difahamkan bahawa kebakaran yang berlaku telah memusnahkan 100 peratus bangunan kuarters guru berkenaan.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami mangsa bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.