Cadangan panjangkan tempoh persidangan DUN dikemukakan kepada Speaker untuk diteliti-Abang Johari

KUCHING-- Kerajaan Sarawak meneliti cadangan untuk memanjangkan tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberikan lebih banyak masa kepada ahli dewan untuk membincangkan perkara penting.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bagi meneliti cadangan berkenaan.

“Tahun lepas, kita menerima permintaan untuk elaun tambahan bagi ahli-ahli dewan.

“Tetapi kali ini, kita sedang meneliti kemungkinan untuk melanjutkan tempoh persidangan dan saya akan berunding dengan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar untuk meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan menjawab permintaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Allan Siden Gramong berkenaan permintaan melanjutkan waktu persidangan tersebut pada Majlis Malam Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton Kuching, malam Rabu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong menyuarakan cadangan berkenaan dengan menekankan keperluan perbincangan lebih mendalam mengenai isu-isu utama.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memuji profesionalisme yang dipamerkan oleh semua ahli dewan sepanjang sesi DUN kali ini.

Menurutnya walaupun masa yang terhad, setiap ahli dewan menunjukkan kebolehan tinggi dalam menguruskan masa dengan berkesan.

“Kita sangat bertamadun, kita mengadakan sesi perdebatan secara formal dan konstruktif, tidak seperti tempat lain di mana sering berlaku saling kutuk mengutuk, di sini kita berbahas dengan penuh bertamadun,” kata Pengerusi GPS itu.

Beliau juga menghargai kejayaan sesi tersebut yang didorong oleh kepatuhan kepada peraturan mesyuarat dan bimbingan Speaker, termasuk pindaan yang dilakukan untuk memperbaiki susunan dan kesantunan sepanjang sesi persidangan.

“Sebab itulah juga kita membuat sedikit pindaan kepada Perintah Tetap ini bagi memastikan standard dan tatatertib DUN terus terjaga,”katanya. 

Pada masa sama beliau turut menyuarakan rasa bangga dan berbesar hati tatkala mendengar perbahasan Ahli Dewan yang menyentuh mengenai isu serta masalah-masalah dari sudut Perlembagaan terutamanya mengenai tanggungjawab, kedaulatan Sarawak ke atas pelantar benua dan sumbernya. 
Next Post Previous Post