Cabaran Kecekapan Tenaga 11 tahun berjaya jimatkan tenaga 1,568,025 kWj bersamaan RM840,446 - Fadillah
KUCHING-- Penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga atau lebih dikenali sebagai ‘Energy Efficiency Challenge’ (EEC) adalah sebanyak 1,568,025 kWj, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, penjimatan itu bersamaan dengan nilai RM840,446 dengan penghindaran karbon sebanyak 1,207 qqtonne CO2.
Jelasnya, hasil penjimatan terkumpul itu juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama 10 tahun.
"Berdasarkan analisis laporan Suruhanjaya Tenaga, sekolah yang menyertai kategori Sekolah Paling EE (Energy Efficiency) pada tahun ini telah mencatat penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 53,014 kWj, iaitu bersamaan dengan nilai RM28,400 berdasarkan tarif kategori B.
"Ini merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan dan tahniah saya ucapkan
"Ia sesuatu yang amat luar biasa. Ini membuktikan bahawa program seperti ini yang dilaksanakan secara berterusan akan berupaya memberikan impak besar kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah ‘Cabaran Kecekapan Tenaga 2024’ atau lebih dikenali sebagai ‘Energy Efficiency (EE) Challenge 2024’ di Putrajaya pagi tadi.
Sehubungan itu, Fadillah mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga di atas kejayaan menganjurkan pertandingan itu.
"Saya berharap dengan pengenalan kepada konsep kecekapan tenaga di awal usia ini mampu menjadikan ia sebagai satu budaya apabila mereka membesar kelak," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kecekapan tenaga adalah antara pemangkin utama dalam usaha kerajaan ke arah peralihan tenaga.
Tegasnya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, selaras dengan agenda global menangani perubahan iklim.
"Sektor industri merupakan pengguna tenaga terbesar di Malaysia, diikuti sektor komersial dan kediaman berdasarkan senario penggunaan tenaga di Malaysia.
"Namun begitu, usaha meningkatkan kecekapan tenaga tidak hanya bergantung kepada dasar dan teknologi semata-mata, tetapi juga memerlukan penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat.
"Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang telah diluluskan pada 25 Jun 2024 merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan kawal selia penggunaan tenaga secara cekap dan mampan," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan inisiatif ini amat bergantung kepada perubahan sikap dan kesedaran masyarakat, termasuk generasi muda.
Menurutnya, generasi muda merupakan pemangkin bagi melaksanakan aspirasi negara ke arah peralihan tenaga.
Kata beliau, pembudayaan amalan kecekapan tenaga ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan pelepasan karbon serta kesan perubahan iklim atau climate change terhadap negara.
"‘Jadilah Bijak Tenaga’ atau ‘Be Energy Smart’ adalah motto yang sering digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam mempromosikan dan memupuk budaya menggunakan tenaga elektrik dengan cekap dan berhemah.
"Tahniah dan syabas kepada pelajar dan sekolah yang diumumkan pemenang pelbagai kategori yang dipertandingkan," ujarnya.