Budak 6 tahun dari Australia sanggup terbang ke Miri untuk belajar sape

KUCHING-- Minat yang mendalam terhadap alat muzik sape, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dari Australia sanggup terbang ke Miri untuk menuntut ilmu tentang muzik tradisional masyarakat Dayak Sarawak itu.

Kisah kegigihan Naeem Ralph itu dikongsikan Hallan Hashim, 33, yang merupakan guru sape dan pemain sape profesional di Sarawak.

"Sudah enam bulan dia (Naeem) belajar bermain sape dengan saya. Dia sanggup datang dari Australia ke Miri (Sarawak) demi belajar sape.

"Saya terharu dengan keluarganya yang sanggup meluangkan masa dan tenaga supaya dia dapat belajar sape," kata Hallan ketika dihubugi Sarawak Update hari ini.

Hallan berkata, Naeem mengetahui tentang sape menerusi ibunya dan dia benar-benar meminati alat muzik berkenaan.

"Ibunya sentiasa mengikuti media sosial Instagram dan Facebook saya dan memberitahu tunggu anaknya sudah dewasa sikit baru menyuruh anaknya belajar sape dengan saya.

"Dia betul-betul minat sape kata mak dia. Balik ke Australia, itu saja dia pegang.

"Dan ketika ini Naeem sedang belajar menguasai tune sape dan bayangkan kalau dalam dua hingga tiga tahun dia belajar dia boleh jadi pemain mahir di Australia," jelasnya lagi.

Tambah Hallan, kanak-kanak itu juga akan membuat persembahan pertama di sekolahnya pada bulan hadapan.

Selain pembelajaran bersemuka, katanya, beliau juga mengadakan kelas secara dalam talian untuk pelajarnya termasuk menerusi buku terbitannya iaitu “7 Teknik Belajar Sape".

"Setakat ini sudah lebih 500 pelajar yang telah saya ajar kebanyakan berusia 6 hingga 17 tahun," katanya sambil menambah semakin lama, semakin jauh sape boleh pergi.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa kagum melihat kegigihan pelajarnya termasuk Naeem yang sanggup menyeberangi Laut China Selatan untuk menuntut ilmu sape.

"Itulah kerinduan cikgu supaya sape terus dipelajari seluruh negara tanpa mengira bangsa dan bahasa," ujarnya.

Mengenai Hallan, beliau merupakan pemain sape dan pengasas kumpulan pemuzik tradisional terkemuka, Band Sada Borneo and Sape Movement yang pernah menyertai Asia's Got Talent pada 2015 dan berjaya ke separuh akhir. 

Anak kelahiran Miri, Sarawak itu juga merupakan mendapat pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program Sarjana Muda Pengurusan (Major in Human Resourse, Minor in Music Technology). 
Next Post Previous Post