Belanjawan Negeri Sarawak 2025 berjumlah RM15.8 bilion, terbesar dalam sejarah negeri- Abang Johari
Gambar Credit UKAS |
KUCHING-- Bertemakan ""Together Building a Prosperous Future", Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg har ini membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 berjumlah RM15.8 bilion, terbesar dalam sejarah Sarawak.
Katanya, Belanjawan Negeri 2025 akan terus menjadi belanjawan pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri.
"Justeru, belanjawan ini mencadangkan untuk meningkatkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan daripada RM13.6 bilion pada 2024 kepada RM15.8 bilion pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM2.2 bilion atau 16 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
"Belanjawan Negeri 2025 ini adalah belanjawan yang direka untuk Sarawak yang inklusif dan makmur di mana setiap rakyat mempunyai akses yang saksama kepada peluang dan sumber untuk berkembang maju.
"Belanjawan ini telah dinilai dan dirumus dengan teliti untuk memastikan negeri kita kekal berdaya tahan, berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah ketidaktentuan global
"Berdasarkan pencapaian masa lalu dan dengan asas yang kukuh, kami sudah bersedia untuk mengharungi cabaran masa depan, menjaga kesejahteraan rakyat dan membawa kemakmuran kepada semua," tegasnya.
Mengulas lanjut Belanjawan Negeri 2025, Abang Johari berkata, jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM13.7 bilion dengan RM4.9 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi, manakala RM8.8 bilion adalah untuk peruntukan kepada akaun dana pembangunan.
Jelasnya, peruntukan itu adalah untuk menambah baki yang dibawa ke hadapan dalam akaun dana pembangunan bagi membiayai Perbelanjaan Pembangunan tahun 2025 yang dianggarkan sebanyak RM10.9 bilion.
Tambahnya, perbelanjaan operasi sebanyak RM4.9 bilion diperuntukkan untuk membiayai beberapa perbelanjaan.
Kata beliau, antaranya, RM1.2 bilion atau 24 peratus adalah untuk emolumen kakitangan; RM1.9 bilion atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan; RM1.6 bilion atau 33 peratus untuk geran dan pembayaran tetap, yang termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, perkhidmatan hutang awam serta pembayaran gratuiti, pencen, dan biasiswa termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM96 juta untuk perolehan aset; dan RM113 juta untuk perbelanjaan operasi lain.
Mengenai perbelanjaan pembangunan sebanyak RM10.9 bilion, Abang Johari memberitahu, ia akan menjadi belanjawan pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak.
Menurutnya belanjawan itu akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor-sektor utama untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri kuat, kukuh, dan berdaya tahan.
"Belanjawan ini tertumpu ke arah mencapai lima matlamat utama iaitu membangunkan masyarakat yang makmur dan saksama yang mana tiada sesiapa akan ketinggalan; meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat melalui inisiatif berteraskan rakyat dan memperkukuhkan kapasiti dan keupayaan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti.
"Matlamat lain adalah meningkatkan kedudukan kewangan negeri ke arah kelestarian kewangan; dan mentransformasikan Sarawak menjadi kawasan yang maju dan hab hijau," ujarnya.
Katanya lagi, lapan teras strategik turut digariskan dalam Belanjawan Negeri 2025 iaitu Mentransformasi dan Mempelbagaikan Ekonomi Sarawak; Meletakkan Sarawak sebagai Destinasi Pelaburan Utama dan Mempromosikan Pembangunan PKS; Memperkukuh Bakat dan Pembangunan Pendidikan; Mempercepatkan Transformasi dan Inovasi Digital; Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Memastikan Pembangunan Inklusif.
Selain itu, Mempromosikan Kebudayaan, Sukan dan Pembangunan Belia; Meningkatkan Kelestarian Alam Sekitar; dan Memperkukuh Penyampaian dan Kapasiti Perkhidmatan Awam.