48 anggota polis ditugaskan pada Kejohanan Lumba Basikal DBKU Road Race 2.0, Criterium Race 3.0

KUCHING-- Seramai 48 anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran Kejohanan Lumba Basikal DBKU Road Race 2.0 dan Criterium Race 3.0 yang berlangsung di sini, esok dan Ahad ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, perlumbaan itu akan berlangsung di perkarangan Stadium Negeri Sarawak bagi Acara Criterium pada 16 November 2024 (Sabtu). 

Sementara Acara Road Race pula jelasnya akan bermula pada 17 November 2024 (Ahad) dari Tugu Pahlawan, Jalan Tun Abang Haji Openg dan berakhir di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara dengan jarak perlumbaan sejauh 104.6 km.

"Bagi memastikan perlumbaan yang telah dijadualkan ini berjalan dengan lancar dan selamat, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sarawak dipertanggungjawabkan untuk menentukan aspek keselamatan dan lalu lintas semasa perlumbaan DBKU Road Race 2.0 dan DBKU Criterium Race 3.0 berlangsung dengan meminimumkan kadar kesesakan trafik tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. 

"Secara keseluruhannya, seramai 48 orang anggota Polis terdiri daripada tujuh orang Pegawai Kanan dan 41 orang Pegawai Rendah Polis akan dikerahkan untuk menjalankan tugas bagi memastikan kejohanan DBKU Road Race 2.0 dan Criterium Race 3.0 berjalan dengan lancar dari segi aspek keselamatan para pelumba dan kawalan lalulintas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mancha lagi, penugasan PDRM merangkumi Team Race dan kenderaan yang akan digunakan adalah sebanyak lima buah kereta peronda dan 38 buah motosikal berat.

Sehubungan itu, beberapa laluan jalan raya di Bandaraya Kuching dan Daerah Padawan akan digunakan sebagai litar perlumbaan berbasikal yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 November 2024 bermula jam 6.00 pagi sehingga selesai perlumbaan. 

Tambahnya, pihak polis akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan sementara serta berperingkat di sekitar venue dan lokasi perlumbaan. 

"Jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan sepenuhnya ialah bermula daripada lampu isyarat Semerah Padi sehingga Bulatan Bukit Siol DBKU. 

"Manakala jalan yang akan ditutup satu lorong ialah bermula daripada lampu isyarat Bomba Semariang sehingga lampu isyarat Semerah Padi," katanya.

Menurutnya, pengumuman penutupan jalan ini adalah bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengetahui tentang jalan yang akan ditutup pada tarikh tersebut dan memudahkan mereka mengelak dari menggunakan jalan-jalan ini supaya tidak berlaku kesesakan lalulintas. 

Oleh itu, katanya, orang awam boleh memilih laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalulintas pada 17 November 2024 (Ahad).

Pada masa sama beliau menasihati orang awam untuk merancang masa perjalanan masing-masing semasa hari perlumbaan tersebut berlangsung sekiranya mempunyai urusan di kawasan pusat bandar dan sila patuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalulintas yang diarahkan oleh pegawai Polis yang bertugas. 

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan berpandukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil kepada mana-mana orang awam yang mengingkari arahan Pegawai Polis yang bertugas. 

Justeru, kata beliau, kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan Kejohanan DBKU Road Race 2.0 dan Criterium Race 3.0 ini.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pegawai Turus Kawalan Lalulintas JSPT IPK Sarawak iaitu Inspektor Anselm Emang di talian 013-2268447 atau pejabat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-221129 pada waktu pejabat," ujarnya.
Next Post Previous Post