16 jambatan bernilai RM12 bilion dibina di Sarawak guna dana negeri- Abang Johari

KUCHING-- Dalam tempoh kurang lima tahun, Kerajaan Sarawak berjaya melaksanakan projek pembinaan 16 jambatan yang menelan kos RM12 bilion dengan menggunakan dana negeri sendiri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun pada mulanya ramai beranggapan kerajaan Sarawak tidak mampu melaksanakam projek tersebut kerana memerlukan dana yang besar, akan tetapi dengan pengurusan yang baik ia dapat dilakukan.

"Ketika kita laksanakan majlis pecah tanah untuk projek pembinaan jambatan-jambatan ini semasa (Dato Sri) Julaihi Narawi masih timbalan menteri (dahulu dikenali Menteri Muda Jalan Pesisir) ramai beranggapan ia hanya majlis pecah tanah, tak mungkin Abang Johari mampu menjayakan pembinaan jambatan-jambatan ini.

"Namun, kita berjaya melaksanakan pembinaan 16 jambatan di seluruh Sarawak yang mana dananya ditanggung kerajaan Sarawak sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam tadi.

Abang Johari memberitahu antara 16 jambatan itu termasuklah tiga Jambatan Batang Lupar yang merupakan jambatan yang terpanjang dengan dianggarkan sepanjang 7 kilometer.

"Dalam tempoh lima tahun kita berjaya melaksanakan pembinaan jambatan-jambatan ini yang mana kita sedia maklum jambatan-jambatan bukan bersaiz tidak kecil tetapi besar dan panjang," tambahnya lagi.

Selain jambatan, katanya kerajaan Sarawak juga berjaya melaksanakan projek pembinaan jalan raya lebih seribu kilometer.

Dalam pada itu Abang Johari berkata kepakaran jurutera dalam pelbagai bidang diperlukan bagi membantu Sarawak membangunkan tiga projek utama yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2030.

Jelasnya, tiga projek strategik itu adalah pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembangunan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi.

Justeru, beliau menegaskan khidmat pakar dalam bidang kejuruteraan amat diperlukan dalam bersama-sama menjayakan projek bagi tempoh lima tahun ini malah dijangka memakan masa melebihi tempoh berkenaan.

Sementara itu, inisiatif untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa sendiri katanya ia bertepatan dengan hasrat untuk Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri apabila persetujuan jual beli MASwings akan dimuktamadkan bulan hadapan.
Next Post Previous Post