1/3 kerusi Parlimen: SPR sudah buat kajian, tunggu input tiga Peguam Besar- Fadillah

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof mendedahkan bahawa kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen sudah dilakukan dan kini memasuki perundingan bagi pentaksiran perundangan melibatkan Peguam Besar Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Beliau menjelaskan mesyuarat jawatankuasa teknikal mengenai perkara ini akan diadakan pada suku pertama tahun hadapan.

"Kajian daripada pihak SPR sudah dibuat dan kini perlu mendengar input daripada ketiga Peguam Besar.

"Jadi kita bagi masa untuk mereka berunding sebelum mesyuarat bersama jawatankuasa teknikal diadakan pada suku pertama tahun hadapan.

"Mesyuarat tersebut diadakan untuk mendapatkan pelaporan daripada ketiga-tiga penasihat undang-undang Persekutuan, Sarawak dan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu, Petra Jaya di sini hari ini.

Ditanya sama ada tuntutan berkenaan dapat dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16, Fadillah berkata, ia tidak sempat dilaksanakan kerana perlu melalui proses yang banyak dan rumit.

Jelas Ahli Parlimen Petra Jaya itu, ia harus melalui prosedur SPR terlebih dahulu sebelum diwartakan dan kemudiannya dibawa ke Parlimen untuk pindaan Perlembagaan bagi mendapatkan keputusan.

Tambah beliau, pertambahan kerusi di Parlimen juga akan menyebabkan perubahan kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Sarawak dan Sabah.

"Ini sudan tentu belum dapat dilaksanakan pada PRU akan datang," ujarnya.

Terdahulu, Fadillah pada majlis itu menyempurnakan Program Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Kampung Samariang Batu, dalam kawasan Parlimen Petra Jaya, Kuching.

"Terima kasih Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat P194 Petra Jaya atas penganjuran program ini. 
 
"Penghargaan ini untuk wakil-wakil dari agensi kerajaan, barisan KMKK, ahli-ahli parti serta rakan-rakan industri daripada Etiqa Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad, dan Takaful Ikhlas Berhad yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
 
"Program ini mengajar pentingnya jaringan keselamatan kewangan dan perlindungan yang mampu menyokong keluarga ketika berdepan cabaran tidak diduga, seperti kecemasan perubatan, kemalangan atau bencana alam.
 
"Ia turut memupuk literasi kewangan, membantu rakyat Malaysia membentuk tabiat menyimpan, merancang dan mengurus risiko," katanya.

Tambahnya apabila rakyat faham dan memanfaatkan takaful, mereka akan menyumbang kepada budaya tanggungjawab dan kekuatan kewangan yang merik manfaat.
 
"Semoga Lan Berambeh Petra Jaya sempena Takaful Masuk Kampung ini akan menjadi contoh bagi inisiatif masa hadapan, menginspirasi kita untuk terus mencari cara mendidik, memperkasa, dan melindungi masyarakat kita," katanya lagi.
Next Post Previous Post