Warga emas rentung dalam kebakaran di Kampung Pituru

KUDAT-- Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Pituru di sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 10.10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Lo Hiong Lan berusia 76 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kebakaran itu.

"Tiba di lokasi komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan telah terbakar 100 peratus.

"Turut terbakar sebuah kenderaan perodua kembara terbakar 100 peratus," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kebakaran telah dipadamkan oleh orang kampung sebelum ketibaan Pasukan Bomba.

"Terdapat seorang mangsa rentung dilaporkan.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.

Tambahnya pemeriksaan telah dijalankan di sekitar kawasan terbabit dan memastikan tiada bahaya lain wujud. 

Operasi ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 2.25 pagi.
Next Post Previous Post