Warga emas meninggal dunia dihempap pokok

RANAU-- Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika memotong pokok di kebun di Kampung Tarawas di sini petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.16 petang.

"Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikerahkan ke lokasi.

"Tiba di lokasi, komander operasi melaporkan seorang lelaki berusia 67 tahun dihempap pokok semasa menjalankan aktiviti memotong pokok di kebun," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Operasi ditamatkan pada jam 2.30 petang.
Next Post Previous Post