Warga emas menemui maut, 4WD dipandu terjunam ke dalam parit di Batu 18 Jalan Kuching-Serian
KUCHING -- Seorang warga emas lelaki menemui maut selepas pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit besar tepi jalan dalam kemalangan kendiri yang berlaku di Batu 18 Jalan Kuching-Serian awal pagi tadi.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6.10 pagi itu, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas masuk ke dalam parit yang berlopak serta berair.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 6.10 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah 4WD yang dipandu seorang lelaki terbabas masuk ke dalam parit,' kata Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak.
Pihak Bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dengan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 8.30 pagi.
Sejurus dikeluarkan, mangsa yang dikenali sebagai Lai Sze Ho berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM yang turut berada di lokasi.