Wanita cedera kemalangan Proton Saga, dua lori di Jalan Batu 18
KOTA SAMARAHAN-- Seorang cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga dengan dua buah lori di Jalan Batu 18, Kota Samarahan-Mambong petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 4.30 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah Lori dan sebuah kereta Proton Saga.
"Pemandu Proton Saga merupakan seorang wanita berusia 27 tahun yang memandu dari arah Batu 15, Siburan menghala ke Kota Samarahan.
"Apabila sampai di KM 18 Kota Samarahan-Mambong, pemandu Proton Saga telah hilang kawalan dan masuk ke dalam laluan bertentangan dan terlanggar sebuah lori," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, akibat perlanggaran itu lori terbabit terbabas dan melanggar belakang sebuah lagi lori yang berada di belakang Proton Saga.
Jelasnya, kedua-dua pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Proton Saga telah dihantar ke Hospital untuk rawatan kerana sakit di bahagian kaki.
Tegasnya, kes disiasat bawah Rule 10 LN166/59.
"Orang ramai terutamanya pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," ujarnya.