Walaupun kurang dari Sabah, Sarawak tetap sambut baik peruntukan RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2025-Abg Jo

KUALA LUMPUR-- Peruntukan sebanyak RM5.9 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2025 dapat membantu pembangunan sektor-sektor penting di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, walaupun peruntukan untuk Sarawak kurang daripada Sabah namun ia dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negeri ini.

"Peruntukan RM5.9 bilion khas untuk Sarawak. Walaupun ia kurang daripada yang diperuntukkan untuk rakan kita di Sabah tetapi tidak mengapa sekurang-kurangnya kita dibantu oleh kerajaan persekutan dalam kita membangunkan sektor-sektor yang penting di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Pada masa yang sama Abang Johari menyambut baik penambahan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta mulai 2025.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menambahkan Peruntukan Khas (Pemberian Khas) daripada RM300 juta kepada RM600 juta.

"Saya juga gembira peningkatan peruntukan untuk sektor pendidikan di negara ini dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan," ujarnya.
Next Post Previous Post