"Tokan" dadah di Sibu tumpas, 1.5kg dadah pelbagai jenis dirampas

SIBU-- Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang dipercayai baru bergiat aktif lebih kurang tiga bulan lalu berjaya ditangkap bersama 1.5 kilogram dadah pelbagai jenis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditangkap sekitar jam 1.35 petang di tepi Jalan Pedada oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND)Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu

Jelasnya, suspek ditahan ketika memandu sebuah kereta dan hasil pemeriksaan menjumpai 34 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan-ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 139.07 gram dan 15 papan pil bersalut kerajang timah warna merah/perak di mana setiap satu berisi 10 biji pil dengan jumlah keseluruhan 150 biji disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan berat kasar 41.78 gram.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah rumah di Jalan Tuah, Sibu telah menjumpai 439 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine angaran berat kasar 1149 gram, 13 paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis Ketamine anggaran berat kasar 73.71 gram dan 60 papan pil bersalut kerajang timah warna merah/perak di mana setiap satu berisi (10) biji pil dengan jumlah keseluruhan 600 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan berat kasar 167.34 gram.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM86,051, dengan berat keseluruhan lebih 1.5 kilogram," katanya pada sidang media semalam.

Selain tangkapan, kata Zulkipli, polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dan wang tunai RM6,600.00 yang dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan dadah.

Tambahnya lagi, ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif Methamphetamine, Amphetamine, Ketamine, dan Benzo.

Susulan itu, tegasnya, suspek direman selama enam hari bermula 11 Oktober hingga 17 Oktober 2024 bagi membantu siasatan lanjut.

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Selain itu, suspek juga boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.00 atau penjara tidak lebih dua tahun di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B akta yang sama," ujarnya.
Next Post Previous Post