Tiga termasuk budah 6 tahun cedera kemalangan kereta dan lori sawit

BINTANGOR-- Tiga cedera termasuk kanak-kanak perempuan berusia enam tahun selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori sawit di Rh. Janting, Jalan KJD, di sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 2.58 petang dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi.

"Komander operasi maklum kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Iriz dengan sebuah lori tangki minyak sawit yang diparkir di bahu jalan. 

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 25 tahun, wanita berusia 33 tahun dan kanak-kanak perempuan.

Katanya, kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Bintangor.
 
Jelasnya lagi, keadaan di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 
Next Post Previous Post