Tiga sekeluarga alami kecederaan, 4WD dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 5 meter di Jalan Engkala Krian
SARATOK -- Tiga sekeluarga mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Engkala Krian tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 12.50 tengah hari bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang membabitkan sebuah 4WD yang terjunam ke dalam gaung yang berlopak air di tepi jalan," ujarnya.
Ketiga-tiga mangsa ujarnya masing-masing berusia antara 19 dan 49 tahun bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Nanga Budu bagi diberikan rawatan lanjut.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba menamatkan operasi menyelamat pada jam 1.49 petang sebelum bertolak balik ke balai.