Tiga maut, 10 cedera dalam kemalangan di Jalan Felda Sahabat, Lahad Datu

LAHAD DATU-- Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan manakala 10 lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Felda Sahabat di sini petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu kira-kira 6.19 petang, melibatkan tiga kenderaan iaitu Nissan Navara, Proton Saga Aeroback dan sebuah motorsikal bertembung. 

"Terdapat 13 mangsa terlibat. Daripada jumlah itu, empat mangsa di kenderaan Proton Saga Aeroback telah dikeluarkan oleh orang awam yang mana dua daripadanya cedera parah telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh pihak Ambulan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. 

"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

"Manakala seorang mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku. 

"Seorang lagi yang maut adalah penunggang motosikal yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara lapan mangsa dari kenderaan Nissan Frontier, katanya mengalami kecederaan ringan dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh orang awam. 

"Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh pihak ambulan dan kenderaan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dilokasi kejadian," ujarnya.

Susulan itu, katanya tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain wujud.
Next Post Previous Post