Teknologi Ground Penetration Radar diguna kesan tanah jerlus-Uggah

KUCHING-- Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menggunakan teknologi Ground Penetration Radar (GPR) untuk menjalankan siasatan terperinci dan memastikan tiada tanah jerlus tambahan di bawah jalan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia susulan kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Tun Jugah di sini pada Rabu.

Dalam kejadian itu, katanya penilaian awal menunjukkan tanah jerlus tersebut agak cetek, berukuran lebih kurang 1.3 meter kali 1.7 meter dengan kedalaman 0.75 meter.

"Saya telah mengarahkan untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasatan yang terdiri daripada pegawai kanan JKR Sarawak untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan menilai potensi kejadian tanah jerlus yang lain di sekitar kawasan tersebut. 

“Jawatankuasa penyiasatan melalui Pusat Penyelidikan JKR Sarawak akan menggunakan teknologi GPR untuk menjalankan siasatan terperinci dan memastikan tiada tanah jerlus tambahan di bawah jalan.

“Analisis komprehensif ini dijadualkan selesai pada 15 November 2024,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut kejadian tanah jerlus itu, Uggah berkata ia mungkin disebabkan oleh kebocoran dari paip saluran air hujan yang bersambung ke tempat letak kereta kompleks beli-belah berdekatan.

Katanya, semasa pemeriksaan visual, JKR Sarawak mendapati bahan asas jalan di sekeliling kawasan tersebut kelihatan longgar dan lembap.

“Siasatan turut mengenal pasti sistem saliran bawah tanah di bawah laluan pejalan kaki bersebelahan tanah jerlus, dengan penutup lubang terletak kira-kira dua meter dari tapak insiden,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, semasa beliau menerima laporan mengenai insiden itu semalam, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu serta-merta mengarahkan JKR Sarawak membuat penyiasatan secara terperinci.

"Saya telah mengarahkan JKR Sarawak untuk mengisi semula tanah jerlus dengan bahan yang sesuai bagi memulihkan permukaan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

"Pembaikan permukaan selesai dalam masa beberapa jam selepas laporan itu dibuat," ujarnya.
Next Post Previous Post