Tarif elektrik tidak berubah, lonjakan bil elektrik perlu penjelasan terperinci dari SEB-Awang Tengah

LIMBANG-- Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu Sarawak Energy Berhad (SEB) memberi penjelasan terperinci berhubung isu mengenai lonjakan bil elektrik kepada semua pengguna di negeri ini.

Beliau menegaskan, SEB perlu menerangkan dari segi kadar tarif elektrik yang tidak berubah yang dikenakan kepada pengguna pada masa kini.

Tambahnya, peningkatan itu mungkin disebabkan kaedah pelaksanaan pemasangan meter pintar di seluruh Sarawak.

“Setakat ini belum ada perubahan untuk (kadar tarif) elektrik bagi domestik dan komersil, cuma mungkin dari segi pelaksanaan itu (meter pintar) jadi pihak SEB perlu terangkan," katanya dipetik menerusi laporan TVS.

Awang Tengah berkata demikian ketika ditemui pemberita bagi mengulas kebimbangan orang ramai mengenai lonjakan bil elektrik di Sarawak ketika ini selepas Majlis Perasmian Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang.

"Dari segi kadar itu tidak ada perubahan mungkin dari pelaksanaan transisi dari kaedah ini kaedah itu mungkin itu perlu penjelasan.

“Saya berharap Kementerian Utiliti bersama SEB harus menerangkan perkara ini,” tambahnya.

Baru-baru ini, Sarawak Energy dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa peningkatan caj elektrik dialami pengguna baru-baru ini berkait rapat dengan kebolehan meter pintar baharu yang merekodkan penggunaan tenaga dengan lebih tepat.

SEB berkata, peningkatan bil ini juga berpunca daripada kurang pendaftaran oleh meter lama dan perubahan bermusim dalam penggunaan tenaga.

Berikutan itu, pengguna melahirkan kebimbangan dengan kenaikan bil elektrik mereka selepas bertukar kepada meter pintar tersebut.
Next Post Previous Post