Suspek kes CCTV dalam tandas diberkas polis

KUCHING-- Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai terlibat kes memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam tandas di sebuah premis perindustrian di Muara Tabuan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek, 37, yang merupakan pekerja yang menjaga stor di premis perindustrian tersebut ditangkap tengah hari tadi.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok hari.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Ordinan Sarawak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perbuatan suspek berjaya dikesan oleh mangsa dan suspek dikatakan mengaku melakukan kesalahan itu ketika ditangkap dan disiasat oleh pihak pengurusan semalam.

Difahamkan suspek meletakkan CCTV yang disembunyikannya di bahagian siling dalam bilik tandas yang berada di tingkat atas dan bawah.

Dia dikatakan setiap hari menggantikan kad memori CCTV itu.

Semalam, seorang pengguna Facebook memuat naik gambar seorang lelaki dipercayai suspek yang didakwa telah memasang CCTV dalam tandas di premis berkenaan dan telah lebih setahun merekodkan rakaman CCTV berkenaan.
Next Post Previous Post