Seorang daripada dua mangsa lemas di kolam BDC disahkan meninggal dunia di HUS
KUCHING-- Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hampir lemas di sebuah kolam renang kondominium di BDC disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, seorang mangsa lelaki tempatan berumur 19 tahun telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Umum Sarawak.
"Kes disiasat sebagai mati mengejut. Seorang lagi dari mangsa dapat diselamatkan dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Umum Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut kes itu, Mohd Farhan berkata, polis menerima maklumat kejadian sekitar jam 7.59 malam yang mengatakan terdapat dua orang lemas ketika berenang di dalam kolam renang di sebuah kondominium yang
terletak di kawasan BDC.
"Seorang mangsa telah dapat
diselamatkan manakala seorang lagi satu dipercayai lemas telah diberi
rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) oleh pihak perubatan dan kedua-dua mangsa telah dibawa oleh pihak ambulans Hospital Umum Sarawak dan ambulans bomba ke hospital," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian ini dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Simon Renang di talian 016-8547803, 082-332522 balai polis sekama atau balai polis yang berhampiran .
"Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengambil
langkah keselamatan semasa menjalankan aktiviti air khasnya semasa di dalam kolam renang," tegasnya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 8 malam tadi.
Susulan itu, katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan EMRS BBP Batu Lintang (Bantuan) dikerah ke lokasi.
"Komander Operasi melaporkan kejadian lemas melibatkan dua mangsa lelaki dewasa berusia 32 dan 19 tahun yang didapati lemas di kolam renang.
"Seorang mangsa yang lemas telah diselamatkan oleh orang awam yang telah berada dilokasi kolam sebelum anggota tiba dan dalam keadaan stabil serta sedar.
"Manakala mangsa kedua tidak mempunyai nadi dan tindakan Resusitasi kardiopulmonari (CPR) telah dilakukan oleh anggota bomba serta pihak perubatan sehingga mangsa stabil dan mempunyai nadi," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak dengan menggunakan Jentera EMRS serta ambulans.
Operasi ditamatkan sekitar jam 8.38 malam.