Selang dua hari, ada lagi korban serangan harimau di Jeli-Gerik
JELI-- Selang dua hari sahaja, seorang lagi menjadi mangsa serangan harimau di kawasan Timur Barat Jeli-Gerik, Batu Melintang, di sini, pagi tadi.
Mayat lelaki warga Myanmar itu dijumpai sekitar jam jam 9.15 pagi tadi dengan kesan kecederaan parah pada tubuh selain paha kiri putus selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang dari rumah kongsi.
Dua hari sebelum insiden ini, seorang lelaki maut diserang harimau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi Bagan Balak di KM 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli dekat Gerik pada Selasa sebelum mayatnya ditemui jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Saari Yaacob, ketika mengulas kejadian hari ini berkata rakan sekerja mangsa memaklumkan mereka menyedari lelaki itu hilang jam 8.30 malam tadi ketika mangsa berada di belakang rumah kongsi di ladang terbabit.
Jelasnya, rakan mangsa turut mendakwa terdengar bunyi harimau mengaum.
"Mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam hutan jam 9.15 pagi tadi iaitu 300 meter dari lokasi rumah kongsi.
"Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama PERHILITAN serta orang awam pergi ke lokasi kejadian untuk tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut lokasi kejadian, Saari berkata, laluan berkenaan perlu melalui jalan berbukit dan sungai serta kebun sayur.
Katanya, berdasarkan kesan corak darah sepanjang laluan, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali namun gagal.
"Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan di leher dan rahang di kiri kanan, kesan cakar di belakang badan serta dada.
"Paha kiri mangsa juga putus dan tulang serta kaki kiri ditemui bersebelahan badan mangsa," ujarnya.
Susulan penemuan itu, katanyam mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Pada Selasa (15 Oktober), Adnan Ismail, 54, yang bekerja sebagai pengendali jentera berat di kawasan hutan sempadan Perak dan Kelantan itu ditemukan mati juga diserang binatang buas berkenaan.
Mayat Adnan ditemui sekitar jam 12 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bersama sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pemeriksaan pada tubuh bapa kepada 10 orang anak itu mendapati terdapat kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher.