Sarawak sasar dapat pengiktirafan Tapak Geopark UNESCO pada 2026, Pulau Jeju, Korea jadi tanda aras

KUCHING-- Sarawak sasar "Pelancong Berkualiti" dengan mengambil Pulau Jeju, Korea Selatan sebagai penanda aras dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Tapak Geopark UNESCO seperti Pulau Langkawi dan Gunung Kinabalu pada 2026.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu Sarawak memerlukan pakar daripada UNESCO untuk menilai khazanah geopark di Sarawak.

"Kalau di Korea Selatan ada Pulau Jeju yang mana pulau ini mempunyai khazanah dari sudut geologi dan kita ambil Pulau Jeju sebagai model supaya kita dapat memenuhi syarat-syarat untuk diisytiharkan sebagai Tapak UNESCO dari sudut geopark," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian International Seminar On Aspiring Sarawak Dekta UNESCO Global Geopark di Riverside Majestic Hotel Kuching, hari ini.

"Apa yang berlaku sekarang ialah kita minta penilai yang boleh mengisytiharkan daripada UNESCO untuk melihat nilai khanazah geopark kita.

"Jadi apabila pelancong datang, kebanyakan mereka ini sayang dengan alam sekitar termasuklah geologi

"Jadi mereka tidak akan menjejaskan apa yang ada pada kita dan ini adalah yang dipanggil "pelancong berkualiti," katanya.

Tambah Abang Johari, Sarawak menyasarkan untuk mendapat pengiktirafan sebagai Tapak UNESCO Geopark pada 2026. 

"Kita sasarkan 2026, jadi ada dua tahun untuk kita memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan agar mendapat pengiktirafan sebagai Tapak UNESCO," jelasnya.

Katanya, proses itu sama seperti yang dibuat Sarawak untuk Niah dan Mulu yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan UNESCO.

"Jadi ini banyak berkisar kepada geologi dan ia merupakan satu daripada tarikan pelancong yang mempunyai nilai tersendiri," ujarnya sambil menambah Malaysia sudah mempunyai dua Tapak Geopark UNESCO iaitu Pulau Langkawi dan Gunung Kinabalu.

"Jadi kalau Sarawak ada satu jumlahnya jadi tiga dan ia adalah bagus," katanya.
Next Post Previous Post