Sarawak rancang tubuh entiti disatukan urus aset, pelaburan negeri

BANDAR SERI BEGAWAN-- Sebuah entiti gabungan yang bertujuan untuk pengurusan aset dan pelaburan akan ditubuhkan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau menjelaskan untuk itu satu kajian akan dijalankan oleh pakar untuk menentukan kebolehlaksanaannya, bertujuan meningkatkan hasil kerajaan untuk jangka panjang.

"Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan entiti disatukan sebagai cabang pengurusan aset dan pelaburan kerajaan,"

"Saya telah mengarahkan satu kajian dijalankan oleh pakar untuk menentukan kebolehlaksanaannya, bertujuan meningkatkan hasil kerajaan untuk jangka panjang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak hari ini.

Abang Johari berkata demikian dalam ucaptama pada penutupan One Team Retreat (OTR) Perkhidmatan Awam Sarawak selama tiga hari yang diadakan di sini sempena pelancaran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu ketika ini cawangan pelaburan Sarawak berada di bawah Sarawak Incorporated.

"Manakala Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) beroperasi dengan suntikan modal permulaan sebanyak RM8 bilion oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, modus operandi entiti sedemikian, ia akan berfungsi sama seperti entiti serupa di negara maju lain seperti Temasek Holdings Singapura dan Government Of Singapore Investment Corporation (GIC), Mubadala Investment Company of UAE, China Investment Corporation dan Japan Investment Corporation. 

"Semua aset kerajaan yang dipegang oleh pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan seperti SEDC, Sarawak Energy Bhd. dan Petros akan disatukan di bawah satu entiti ini dan akan dijalankan seperti badan perniagaan lain.

"Model pengurusan aset dan pelaburan dengan badan-badan ahli sebagai pemegang saham akan menyediakan suasana yang kondusif kepada "mobiliti" profesional di kalangan badan-badan ahli mengikut prinsip “hire and fire” untuk memastikan badan-badan itu dijalankan dengan baik," katanya.

Menurutnya lagi model sebegini juga akan membolehkan imbuhan ditetapkan pada tahap tinggi dan setanding dengan negara maju.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut berkongsi tentang pemerolehan saham majoriti dalam Affin Bank.

Beliau menjelaskan bank itu akan menjadi platform untuk memacu pembangunan dalam perniagaan kecil dan sederhana serta untuk memudahkan pembangunan keseluruhan Sarawak.

Katanya, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang ditubuhkan pada 2017 juga telah menjadi platform kewangan yang diberi mandat dengan pembangunan projek strategik seperti infrastruktur untuk meningkatkan ekonomi Sarawak.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata mengenai penyelesaian bagi memastikan pelaksanaan projek kerajaan dan pengurusan aset dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pantas.

Antara yang hadir ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, menteri dan timbalan menteri.

Premier kemudiannya secara rasmi melancarkan operasi STATOB bertujuan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelancongan antara Brunei dan Sarawak.
Next Post Previous Post