Sarawak ambil alih MASWings tidak lama lagi-Abang Johari

KUCHING-- Proses pengambilalihan Syarikat MASWings kini dalam peringkat rundingan lanjutan akan ditamatkan tidak berapa lama lagi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu Sarawak memerlukan khidmat penerbangan yang berada di kawalannya sendiri bukan sekadar sebagai kemudahan untuk membawa penumpang keluar dan masuk tetapi yang lebih penting ia merupakan suatu pelaburan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan rantaian khidmat sokongan.

"Saya yakin proses pengambilalihan Syarikat MASWings yang kini dalam peringkat rundingan lanjutan akan ditamatkan tidak berapa lama lagi, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu sedang dijalankan yang bermodelkan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar. 

Jelasnya, lapangan terbang itu nanti akan dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan yang tercanggih sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang tersebut sebagai hub penerbangan serantau.  
 
Dalam pada itu, beliau berkata, sektor teknologi merupakan satu lagi “enabler” kepada transformasi ekonomi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). 

"Baru-baru ini saya telah melancarkan akademi aeroangkasa berpusat di CENTEXS Lundu. 

"Ini adalah sebagai langkah mempersiapkan modal insan yang kompeten dalam bidang aerangkasa dan bidang-bidang yang berkaitan di bawah program aeroangkasa kebangsaan," katanya.

Selain itu, jelasnya, kawasan Lundu/Sematan juga merupakan kawasan yang telah dipilih sebagai tapak pelancaran satelit kebangsaan. 

"Di samping itu, Sarawak juga berhasrat melancarkan satelit mikronya sendiri untuk tujuan pengumpulan dan penyaluran data pada masa akan datang," ujarnya.
Next Post Previous Post