Sanggup lukakan diri dakwa disamun, rupa-rupanya hilangkan duit isteri takut kena marah

KOTA SAMARAHAN-- Dakwa diri disamun tetapi rupa-rupanya ia hanya cerita rekaan seorang lelaki kerana takut dimarahi isterinya selepas menghilangkan wang tunai RM850 milik isteri.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin, ini hasil siasatan yang dijalankan polis dalam merungkai laporan yang dibuat lelaki berusia 25 tahun itu yang mendakwa dirinya dirompak pada 5 Oktober sekitar jam 8 malam.

"Dalam laporan itu, lelaki terbabit menyatakan semasa menghantar barang bungkusan di Kampung Tanjung Bundong dia telah disamun oleh dua lelaki yang menaiki dua buah motosikal jenis Honda Ex5 dan Honda Wave serta mendapat kecederaan di tangan akibat dilibas dengan senjata tajam yang disyaki kerambit. 

"Dalam laporan itu, dia mendakwa mengalami kerugian wang tunai RM850 dan tiga bungkusan milik pelanggan serta telefon bimbit jenis Redmi Note 9 warna biru miliknya sendiri.

"Namun, hasil soal siasat dan Siasatan lanjut mendapati kejadian jenayah itu tidak berlaku dan individu berkenaan mengaku membuat laporan palsu kerana duit milik isterinya sebanyak RM850.00 telah hilang atas kecuaiannya semasa tidur di parking kereta di Bandar Riyal bagi mengelak dimarahi isterinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, tegasnya, lelaki terbabit ditahan dan kes disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM2,000 atau penjara tidak lebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," jelasnya.

Sehubungan itu, Jaimi mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kerana ia akan memberikan gambaran negetif berlakunya kejadian jenayah di Daerah Kota Samarahan. 

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau individu sedemikian," ujarnya.
Next Post Previous Post