Saifuddin sahkan anggota polis ditahan kes tembakan di Song

KUCHING-- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan seorang anggota polis ditangkap terbabit dalam kejadian tembakan yang mengorbankan seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan dalam kawasan hutan di Song, pada 23 September lalu.

Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam satu taklimat berhubung perkara itu ketika berkunjung ke Sarawak, baru-baru ini.

"Insiden itu berlaku dalam kawasan latihan tentera. Laporan telah dibuat dan polis segera melakukan siasatan awal untuk mengesan pihak yang terbabit.

"Daripada taklimat Pesuruhjaya Polis Sarawak, disahkan seorang anggota polis terbabit dan kertas siasatan sudah dibuka untuk kes itu," katanya dipetik menerusi laporan Berita Harian semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sua Mesra dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, semalam.

Dalam kes tembakan itu, Mancha sebelum ini memaklumkan polis telah menahan dua lelaki disyaki pemburu haram yang melepaskan tembakan sehingga mengorbankan mangsa.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang 24 September lalu di Song, hasil siasatan dan maklumat orang awam.

Tegasnya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, jelasnya, polis turut merampas selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain peluru penabur.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek disyaki memburu secara haram dan seorang daripada mereka didakwa melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka haiwan liar.

Selepas melepaskan tembakan, Mancha berkata, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal apabila terdengar jeritan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan sebelum ini pula memaklumkan bahawa mangsa adalah anggota formasi daripada Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD).

Menurutnya, insiden berlaku ketika mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 September lalu.
Next Post Previous Post