Sagah kecewa Pengambilan khas guru Sarawak 2024 dibuka kepada semua, sepatutnya untuk anak Sarawak saja
SIBU-- Pengambilan khas guru Sarawak 2024 yang sebelum ini diumumkan hanya dibuka untuk graduan Sarawak sekadar "janji manis" Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Hal ini susulan keputusan layak temuduga bagi pengambilan khas guru Sarawak 2024 yang turut dibuka kepada graduan dari Semenanjung.
Berikutan itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut dan menyifatkan SPP tidak mengotakan janji yang mana keutamaan seharusnya diberikan kepada anak Sarawak tetapi sebaliknya berlaku.
“Mereka mengatakan akan menemu duga calon dari bahagian lain di Malaysia. Sudah tentu kuasa di tangan mereka, kuasa terletak kepada SPP.
“Kami tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenainya, tetapi saya rasa seolah-olah mereka tidak menunaikan janji mereka,” katanya dipetik menerusi laporan TVS.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Isu Pengambilan Guru Khas di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Isnin.
Sagah memberitahu, inisiatif itu sepatutnya bagi menangani kekurangan guru sekolah rendah dan menengah di Sarawak dengan mengutamakan graduan dari kalangan anak Sarawak.
Tambahnya, walaupun Sarawak tidak menghalang untuk menemu duga calon dari negeri lain tetapi adalah lebih baik ia dilakukan pada masa lain.
Mengenai dakwaan lebih ramai warga negeri lain disenarai pendek untuk temu duga di bawah inisiatif itu, Sagah berkata, data mengenainya masih belum tersedia.
Namun, bagi pemohon yang mempunyai ijazah dalam pendidikan jelasnya, kira-kira 300 calon bukan dari Sarawak disenaraikan.
“Sebab itu, saya tidak mahu mereka membuka permohonan kepada semua rakyat Malaysia dan mengatakan terdapat lebih ramai calon bukan dari Sarawak adalah tidak adil. Kita harus konsisten dan munasabah.
“Kita tidak tahu berapa ramai yang akan dipilih untuk mengisi jawatan tersebut. Hanya pada penghujung proses kita akan tahu,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap 100 peratus permohonan itu diisi oleh rakyat Sarawak yang mana sebanyak 2,000 kekosongan ditawarkan dan SPP akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan semua calon Sarawak.
“Jadi, kita minta ini dikhaskan untuk Sarawak semata-mata, sebab dari awal lagi kita sudah mengatakan pengambilan ini untuk orang Sarawak. Jadi, kami mahu mengekalkannya,” tegasnya.
Di bawah inisiatif itu, sebanyak 15,000 permohonan telah diterima dan hanya sekitar 6,000 disenarai pendek untuk temu duga secara fizikal yang akan diadakan di tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Miri.