Rompak bawa 'machine gun' ala-ala filem Joker,, lelaki dipenjara tujuh tahun, tujuh sebatan
KUCHING-- Seorang lelaki yang pernah tular di media sosial kerana merompak sambil membawa 'machine gun' ala-ala filem Hollywood di MJC Batu Kawa akhirnya dipenjara tujuh tahun dan tujuh sebatan.
Hukuman ke atas Awg Mazheli Awg Jadid, 30, yang didakwa melakukan rompakan terhadap tiga lelaki di dua premis berasingan di MJC Batu Kawa dalam tempoh kurang daripada lima minit, dijatuhkan oleh Hakim Musli Ab Hamid dan Hakim Saiful Bahari Adzmi di Mahkamah Sesyen hari ini.
Dia menghadapi tiga pertuduhan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.
Awg Mazheli didakwa melakukan rompakan terhadap dua lelaki dalam kejadian yang bermula sekitar jam 4.50 pagi di sebuah kedai makan di MJC Batu Kawa di sini pada 5 Oktober 2024.
Selepas itu, dia didakwa bertindak merompak seorang lagi mangsa lelaki di sebuah kedai dobi berhampiran pada hari yang sama.
Berdasaran fakta kes, Awg Mazheli ketika kejadian itu berpakaian hitam dan bertopeng bertindak merompak ketiga-tiga mangsa dengan bersenjatakan senapang tiruan bagi tujuan menakutkan dan mengugut kesemua mangsa.
Dalam kejadian itu, dia juga dilaporkan mengambil dua unit telefon bimbit milik dua mangsa dan satu unit tong gas milik premis kedai makan terbabit semasa kejadian.
Berikutan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Pada 15 Oktober lalu, dia berjaya ditangkap sepasukan polis dan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian rompakan itu jelas dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Selain telefon bimbit dan tong gas, turut dirampas daripada Awg Mazheli adalah satu unit topeng muka Joker warna putih.
Barang kes tersebut telah dicam oleh mangsa dan saksi serta telah disah digunakan oleh Awg Mazheli semasa kejadian.
Pendakwaan kes dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Asymawi Ghazali dan DPP Cynthia Emmelda Jerry.