Pusat Kanser di Sarawak dan Kedah usaha kerajaan perluas rangkaian pusat kanser negara-Fadillah
KUCHING-- Penubuhan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan dan Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah adalah usaha berterusan kerajaan untuk memperluaskan rangkaian pusat kanser Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti.
Katanya, kerajaan sedar akan beban yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga.
"Oleh itu, kerajaan akan terus memperuntukkan sumber bagi meningkatkan penyelidikan, kemudahan rawatan serta program pencegahan kanser.
"Yang terkini, kita bakal menubuhkan Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah dan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Pink October 2024 di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, hari ini.
Tambah Fadillah, ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan rawatan kanser berkualiti dan dapat diakses oleh rakyat di seluruh negara tanpa mengira lokasi geografi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kanser payudara terus menjadi ancaman utama bagi golongan wanita di negara ini dengan statistik menunjukkan kekerapan tertinggi iaitu 38.9 bagi setiap 100,000 wanita pada 2017 hingga 2021.
Jelasnya, secara amnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan antara 2017 hingga 2021.
"Kajian juga menunjukkan bahawa pesakit kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal mempunyai risiko kematian yang 7.5 kali ganda lebih rendah berbanding mereka yang dikesan pada peringkat lewat.
"Ini adalah bukti bahawa tindakan awal dan proaktif, mampu menyelamatkan nyawa.
"Atas sebab itu juga, setiap tahun, bulan Oktober dipilih sebagai bulan kesedaran kanser payudara di seluruh dunia dan di Malaysia pelbagai aktiviti diadakan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang penyakit ini," katanya.
Mengenai Karnival Pink October pada hari ini bertemakan "Living Well, Living Together", katanya, ia mengangkat nilai kesedaran, kekuatan, dan kebersamaan.
Menurutnya Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara, tetapi juga sebagai satu sumber inspirasi kepada semua, khususnya mereka yang sedang berjuang melawan kanser.
"Kepada para pesakit dan pejuang kanser yang hadir pada hari ini, izinkan saya untuk menyampaikan mesej ini kepada anda: Anda tidak keseorangan dalam perjuangan ini.
"Kami semua berdiri bersama anda, memberikan sokongan yang padu. Bersama-sama, kita berjuang dengan penuh harapan untuk masa depan yang lebih cerah, bebas daripada ketakutan dan stigma terhadap kanser.
"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi atas inisiatif berani mencipta Malaysia Book of Records dengan formasi ‘pink ribbon’ terbesar bukan sahaja menunjukkan komitmen kita dalam memerangi kanser, tetapi juga menjadi simbol kekuatan dan harapan bagi semua pejuang kanser di negara ini," ujarnya.